Roket Atlas V Berjaya Melancarkan Satelit Cuaca NASA, GOES-S

Roket Atlas V membawa satelit GOES-S berlepas dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41
Roket Atlas V membawa satelit GOES-S berlepas dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41
Kredit: ULA [11]

 

Roket Atlas V 541 telah berjaya dilancarkan dan menghantar satelit GOES-S ke orbit. Roket tersebut telah dilancarkan tepat pada 6:02 AM, 2 Mac 2018 waktu Malaysia (5:02 PM, 1 Mac 2018 waktu tempatan). Roket Atlas V tersebut telah dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat.

Pelancaran telah berlaku dengan lancar tanpa sebarang masalah seperti yang dirancang. Selepas roket peringkat atas Centaur dipisahkan dari roket peringkat pertama, roket Centaur telah membawa muatan ke orbit singgah pertama yang berukuran kira-kira pada 180 km x 542 km dengan kecondongan 28.16º.

22 minit 38 saat selepas pelancaran, roket Centaur dihidupkan untuk kali kedua selama kira-kira 5 minit 31 saat bagi membawa muatan ke orbit pindah geosegerak (geosynchronous transfer orbit, GTO) awal yang berukuran kira-kira 204 km x 32,780 km dengan kecondongan 25.7º.

Selepas melalui fasa peluncuran (coasting phase) selama 3 jam, enjin roket Centaur telah dihidupkan untuk kali ketiga. Pembakaran selama kira-kira 1 minit 34 saat tersebut telah menaikkan perigi (perigee, altitud paling rendah orbit) orbit dan meletakkan satelit GOES-S di orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) yang berukuran 8,196 km x 35,290 km dan berkecondongan 9.54º.

IKLAN

Panel solar satelit GOES-S telah berjaya dibuka selepas beberapa minit satelit tersebut dipisahkan dari roket Centaur. Selepas itu, satelit GOES-S tersebut akan menggunakan bahan bakarnya sendiri untuk bergerak ke orbit geopegun (geostationary orbit, GSO) yang bulat (circular) yang berketinggian kira-kira 35,888 km dari khatulistiwa. Pergerakan ke orbit operasi ini akan mengambil masa selama kira-kira 22 hari, sebagaimana yang dilaporkan oleh NASA TV. Satelit GOES-S akan beroperasi pada slot 135º hemisfera barat bumi di orbit geopegun.


Sorotan pelancaran roket Atlas V bersama satelit GOES-S
Kredit: United Launch Alliance [12]

 

Artikel Asal: Roket Atlas V Akan Melancarkan Satelit Cuaca NASA, GOES-S

United Launch Alliance (ULA) akan melancarkan roket Atlas V yang akan membawa satelit cuaca GOES-S. Pelancaran roket ini mempunyai jendela pelancaran (launch window) selama 2 jam dari 6:02 AM hingga 8:02 AM pada 2 Mac 2018 waktu Malaysia (5:02 PM hingga 7:02 PM pada 1 Mac 2018 waktu tempatan). Pelancaran akan dilakukan dalam tempoh jendela pelancaran ini. Roket Atlas V tersebut akan dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat [1].

Pihak National Aeronautics and Space Administration (NASA) dan United Launch Alliance (ULA) akan membuat liputan secara langsung pelancaran. Liputan siaran langsung akan bermula pada jam 5:30 AM pada 2 Mac 2018 waktu Malaysia. Liputan siaran langsung boleh ditonton di laman YouTube NASA [2] dan ULA [3].

Satelit GOES-S adalah satelit kedua untuk program satelit cuaca GOES-R. GOES ialah akronim kepada Geostationary Operational Environmental Satellite, iaitu sistem satelit alam sekitar yang beroperasi pada orbit geopegun (geostationary orbit) yang berketinggian kira-kira 35,888 km dari khatulistiwa. Satelit GEOS-S akan memantau keadaan cuaca di kawasan barat Amerika Syarikat, lautan Pasifik sehingga New Zealand.

Satelit GOES-S sebelum pengkapsulan
Satelit GOES-S sebelum pengkapsulan
Kredit: NOAA [9]

[https://blog.mybit.my/?p=1529]

Data dari program satelit cuaca GOES-R membolehkan ramalan cuaca masa nyata dibuat dengan lebih tepat. Satelit-satelit GOES-R mempunyai beberapa peralatan pemantauan cuaca canggih yang boleh digunakan untuk pemetaan kilat, pemantauan keadaan awan, pemantauan pergerakan dan keamatan siklon tropika, pemantauan letusan gunung berapi, kebakaran hutan, serta pengimejan solar dan cuaca angkasa. Satelit pertama untuk program ini iaitu GOES-16 telah dilancarkan pada 20 November 2016 yang turut menggunakan roket Atlas V. Program satelit cuaca GOES-R dijangka akan menambah 2 lagi satelit iaitu GOES-T dan GOES-U yang dijangka dilancarkan pada tahun 2020 dan 2024 [4].

Gambar warna komposit bumi yang ditangkap oleh satelit GOES-16 pada 16 Januari 2017
Gambar warna komposit bumi yang ditangkap oleh satelit GOES-16 pada 16 Januari 2017. Satelit GOES-16 berada pada orbit bertinggian kira-kira 35,888 km
Kredit: NOAA [7]

 

Satelit GOES-S akan dilancarkan ke orbit dengan menggunakan roket Atlas V yang berketinggian 60 meter. Roket Atlas V tersebut akan menggunakan konfigurasi 541 yang membawa maksud penggunaan reraut muatan (payload fairing) 5 meter (nombor 5), 4 roket penggalak pepejal (solid rocket booster, SRB) tambahan (nombor 4), dan roket peringkat atas Centaur akan digunakan (nombor 1). Konfigurasi ini mempunyai kemampuan untuk membawa muatan sebanyak 17,410 kg ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO), dan 8,290 kg ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) [6].

Struktur roket Atlas V siri 500
Struktur roket Atlas V siri 500
Kredit: ULA [6]

[https://blog.mybit.my/?p=1529]

Selepas dilancarkan, roket peringkat atas Centaur akan berpisah dari roket peringkat pertama dan akan bergerak ke orbit singgah (parking orbit) yang berada pada orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO) terlebih dahulu. Kira-kira 22 minit 38 saat selepas pelancaran, enjin pada roket Centaur akan dihidupkan untuk kali kedua selama kira-kira 5 minit 31 saat bagi menaikkan apogi (altitud tertinggi orbit) kepada kira-kira 35,200 km untuk membawa muatan ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO).

Orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) untuk misi GEOS-S adalah sedikit berbeza berbanding dengan misi ke orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) syarikat perkhidmatan pelancaran angkasa lain. Enjin roket Centaur akan dihidupkan untuk kali ketiga selama 1 minit 34 saat selepas kira-kira 3 jam 28 minit pelancaran bagi menaikkan perigi (perigee, iaitu altitud paling rendah orbit). Tindakan ini akan menggerakkan orbit pindah geopegun (geostationary transfer orbit, GTO) satelit GOES-S lebih dekat dengan orbit geopegun (geostationary orbit, GSO) yang bulat (circular). Orbit ketika satelit GOES-S berpisah dari roket peringkat atas Centaur dianggarkan pada 35,286 km x 8,215 km dengan kecondongan 9.52º.

Roket peringkat pertama Atlas V yang juga dikenali sebagai Atlas Common Core Booster menggunakan bahan bakar kerosin gred roket (RP-1) dan oksigen cecair (LOX) sebagai bahan pengoksida. Roket penggalak pepejal (solid rocket booster, SRB) AJ-60A pula menggunakan bahan dorong pepejal jenis hydroxyl-terminated polybutadiene (HTPB). Roket peringkat atas Centaur pula menggunakan bahan bakar hidrogen cecair (LH2) bersama oksigen cecair (LOX).

Satelit cuaca GOES-S tersebut akan dikendalikan oleh agensi cuaca Amerika Syarikat, National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), dan agensi angkasa Amerika Syarikat, National Aeronautics and Space Administration (NASA).

 

Profil Penerbangan


Video animasi profil misi GOES-S
Kredit: ULA [10]

 

Profil Penerbangan GOES-S
Kredit: ULA [5]

 

Masa (JAM:MINIT:SAAT)Peristiwa
-00:00:02.7Enjin RD-180 dinyalakan
00:00:01.1Pelancaran (nisbah tujah-berat > 1)
00:00:05.2Olah gerak anggul / rewang (pitch / yaw) bermula
00:00:35.2Roket bergerak pada kelajuan suara (Mach 1, kira-kira 1,100 km per jam)
00:00:47.1Roket mengalami tekanan dinamik maksimum
00:01:50.3Roket penggalak pepejal (solid rocket booster, SRB) dibuang
00:03:29.9Reraut muatan (payload fairing) dibuang
00:04:21.9Enjin penggalak dimatikan (booster engine cutoff, BECO)
00:04:27.9Roket peringkat pertama dan roket peringkat kedua Centaur dipisahkan
00:04:37.9Enjin utama roket peringkat kedua Centaur dihidupkan (Centaur Main Engine Start, MES-1)
00:12:11.7Enjin utama roket peringkat kedua Centaur dimatikan untuk kali pertama (Centaur First Main Engine Cutoff, MECO-1)
00:22:38.4Enjin utama roket peringkat kedua Centaur dihidupkan untuk kali kedua (Centaur Second Main Engine Start, MES-2)
00:28:09.3Enjin utama roket peringkat kedua Centaur dimatikan untuk kali kedua (Centaur Second Main Engine Cutoff, MECO-2)
03:28:07.9Enjin utama roket peringkat kedua Centaur dihidupkan untuk kali ketiga (Centaur Third Main Engine Start, MES-3)
03:29:42.3Enjin utama roket peringkat kedua Centaur dimatikan untuk kali ketiga (Centaur Third Main Engine Cutoff, MECO-3)
03:32:31.3Satelit GOES-S berpisah dari roket Centaur
03:58:51.3Roket mula membuang bahan bahan dorong yang masih ada (blowdown)
04:32:11.3Misi tamat

 

Liputan Siaran Langsung Pelancaran Roket Atlas V


Tonton siaran langsung liputan pelancaran roket Atlas V 541 membawa satelit GOES-S bermula jam 5:30 AM, 2 Mac 2018 waktu Malaysia
Kredit: NASA TV [8]

[https://blog.mybit.my/?p=1529]

Sejarah kemas kini:

15:50 2 Mac 2018 – Video rasmi sorotan pelancaran

11:00 2 Mac 2018 – Pelancaran roket Atlas V bersama satelit GOES-S berjaya

 

Kredit gambar: ULA [0]

 

Rujukan:

[0] On the Launch Pad: Atlas V GOES-S: https://www.flickr.com/photos/ulalaunch/26676097428/

[1] Atlas V to Launch GOES-S: https://www.ulalaunch.com/missions/missions-details/2018/02/08/atlas-v-to-launch-goes-s

[2] NASA: https://www.youtube.com/channel/UCLA_DiR1FfKNvjuUpBHmylQ

[3] United Launch Alliance: https://www.youtube.com/channel/UCnrGPRKAg1PgvuSHrRIl3jg

[4] GOES R, S, T, U: http://space.skyrocket.de/doc_sdat/goes-r.htm

[5] https://www.ulalaunch.com/docs/default-source/launch-booklets/goess_mob_final.pdf

[6] ATLAS V: https://www.ulalaunch.com/rockets/atlas-v

[7] GOES-16 Color Composite Images: https://www.nesdis.noaa.gov/content/goes-16-color-composite-images

[8] NASA TV Public-Education: https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0

[9] IMAGES: GOES-S ROAD TO LAUNCH: https://www.goes-r.gov/multimedia/images/launches.html

[10] Atlas V GOES-S Mission Profile: https://www.youtube.com/watch?v=3Auwwc9BLXE

[11] Liftoff! Atlas V GOES-S: https://www.flickr.com/photos/ulalaunch/40522764882/

[12] Atlas V GOES-S Launch Highlights: https://www.youtube.com/watch?v=J4yaVlTCjIE

Anda Mungkin Juga Berminat

Roket Falcon 9 SpaceX Berjaya Melancarkan Satelit Komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6 (Hispasat 1F),... Kemas kini terakhir: 6:00 AM, 7 Mac 2018 SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon 9 dan menghantar sebuah satelit komunikasi Sepanyol, Hispasat 30W-6, ke orbit pindah geopegun (geostationary tra...