SpaceX Melancarkan Roket Falcon Heavy dan Menghantar Sebuah Kereta ke Angkasa

SpaceX telah berjaya melancarkan roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada jam 4:45 AM 7 Februari 2018 waktu Malaysia (3:45 PM 6 Februari 2018 waktu tempatan) dari Kompleks Pelancaran 39A di Pusat Angkasa Kennedy, Florida, Amerika Syarikat. Roket Falcon Heavy adalah roket yang paling berkuasa pada masa kini selepas roket Saturn V dihentikan perkhidmatan pada tahun 1973.

Falcon Heavy boleh membawa muatan maksimum sebanyak 63,800 kg ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO), 26,700 kg ke geosynchronous transfer orbit, GTO, 16,800 kg ke Marikh, dan 3500 kg ke Pluto [1] jika roket tersebut beroperasi tanpa mendaratkan kembali ketiga-tiga roket teras.

Perbandingan kapasiti muatan roket ke orbit rendah bumi
Perbandingan kapasiti muatan roket ke orbit rendah bumi (low earth orbit, LEO)
Kredit: SpaceX [1]

 

2 minit 40 saat selepas pelancaran, enjin kedua-dua roket sisi (side booster) dimatikan dan roket-roket tersebut berpisah dari roket teras tengah (center core) ketika roket berada pada ketinggian 60 km di udara dan bergerak pada kelajuan 6,800 km per jam. Ketika ini, kedua-dua roket tersebut mengunakan daya tujahan dari gas tekanan tinggi untuk berpusing di udara. Selepas 3 minit 14 saat, roket sisi memulakan boostback burn untuk menukar arah tuju roket menghala kembali ke pad pendaratan.

 


Klip video rakaman perpisahan roket sisi (side booster) dari roket teras (center core), dan roket teras (center core) dari roket peringkat kedua (second stage)
Kredit: SpaceX [0]

 

3 minit 20 saat selepas pelancaran, enjin roket tengah dimatikan dan roket teras tengah (center core) berpisah dari roket peringkat kedua (second stage). Roket peringkat kedua meneruskan perjalanan ke angkasa. Roket teras tengah melakukan boostback burn pada 3 minit 44 saat untuk mengubah hala tuju ke kapal droneJust Read the Instructions” yang berada di laut Atlantik kira-kira 342 km dari tapak pelancaran [6].

4 minit 1 saat selepas pelancaran, reraut muatan (payload fairing) dibuka dan dibuang untuk mengurangkan berat kerana roket peringkat kedua telah tiba di angkasa dan tiada lagi seretan dari atmosfera.

Kira-kira 4 minit 50 saat selepas pelancaran, sirip grid (grid fins) ketiga-tiga roket dibuka. Roket-roket dari Falcon Heavy menggunakan sirip grid dan tujahan gas tekanan tinggi untuk mengawal hala tuju roket ketika roket menjunam kembali ke bumi.

Pada 4 minit 38 saat, kedua-dua roket sisi (side booster) memulakan pembakaran kemasukan semula (reentry burn) untuk memperlahankan kelajuan roket. Roket teras tengah (center core) melakukan pembakaran kemasukan semula (reentry burn) pada 6 minit 55 saat. Ketika ini, roket-roket tersebut dianggarkan bergerak dengan kelajuan lebih dari 5000 km per jam. Pembakaran kemasukan semula (reentry burn) dianggarkan memperlahankan kelajuan roket kepada kira-kira 2000 km per jam. Oleh kerana roket-roket tersebut bergerak dengan pantas, proses ini penting agar roket tidak terbakar dan hancur akibat haba yang terjana dari geseran atmosfera semasa kemasukan semula.

7 minit 48 saat selepas pelancaran, kedua-dua roket sisi (side booster) memulakan pembakaran pendaratan (landing burn) untuk memperlahankan kelajuan roket dari kelajuan transonik (kira-kira 1,000 km per jam) kepada kelajuan yang selamat untuk mendarat. Pada 7 minit 58 saat, kaki pendaratan (landing legs) roket dibuka. Kedua-dua roket sisi mendarat pada 8 minit 10 saat.


Klip video rakaman pendaratan roket sisi di Zon Pendaratan 1 dan Zon Pendaratan 2
Kredit: SpaceX [0]

 

Walau bagaimanapun, roket tengah (center core) telah gagal untuk melakukan pendaratan di atas kapal droneJust Read the Instructions” kerana tidak mempunyai TEA-TEB (bahan penghidup enjin) yang cukup untuk melakukan pendaratan. Hanya 1 dari 3 enjin berjaya dihidupkan untuk pendaratan menyebabkan roket tersebut gagal memperlahankan kelajuan lalu tersasar sejauh 100 kaki dari kapal. Roket teras itu jatuh ke laut dengan kelajuan hampir 500 km per jam. [5].

Elon Musk di Pad Pendaratan sejurus roket sisi Falcon Heavy mendarat
Elon Musk di Pad Pendaratan sejurus roket sisi (side booster) Falcon Heavy mendarat
Kredit: Elon Musk / SpaceX [8]

[https://blog.mybit.my/?p=506]

Kereta Sebagai Muatan


Rakaman penuh pemandangan dari kereta Tesla Roadster ketika mengelilingi bumi di orbit sementara
Kredit: SpaceX [3]

 

Biasanya, syarikat pengangkutan angkasa menggunakan blok konkrit atau ketulan keluli sebagai simulasi berat / jisim untuk ujian penerbangan roket. Elon Musk yang merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) SpaceX pula memilih untuk menghantar sebuah kereta Tesla Roadster milik beliau ke orbit Marikh sebagai muatan untuk menguji penerbangan roket Falcon Heavy.

Selepas pelancaran, kereta tersebut mengelilingi bumi pada orbit sementara dengan ketinggian 180 km x 6951 km [2] selama hampir 6 jam. Sepanjang tempoh 6 jam tersebut, SpaceX menayangkan secara langsung pemandangan dari angkasa lepas [3]. Oleh kerana muatan tersebut boleh bergerak ke orbit yang lebih tinggi berbanding orbit Stesen Angkasa Antarabangsa (kira-kira 400 km), kamera yang ada pada muatan tersebut dapat merakam keseluruhan rupa bumi.

Gambar patung memakai sut angkasa menaiki kereta Tesla Roadster ketika mengorbit bumi
Gambar patung memakai sut angkasa menaiki kereta Tesla Roadster ketika mengorbit bumi
Kredit: SpaceX [3]

 

Selepas itu, roket peringkat kedua (second stage) menghidupkan kembali enjin buat kali terakhir untuk mengubah halatuju kereta menghala ke orbit Marikh. Apa yang menarik, kereta tersebut akan bergerak melepasi orbit Marikh sebelum mencapai titik tertinggi orbit yang hampir dengan lingkaran asteroid, menurut Elon Musk selepas roket melakukan pembakaran enjin ketiga [4]. Kereta tersebut seterusnya akan mengorbit matahari (dikenali sebagai orbit heliosentrik) selama berjuta-juta tahun.

Orbit anggaran perjalanan kereta Tesla Roadster di angkasa
Orbit anggaran perjalanan kereta Tesla Roadster di angkasa
Kredit: Elon Musk / SpaceX [4]

 

Biasanya, roket peringkat atas (upper stage) akan menghidupkan enjin sekadar mencukupi untuk meletakkan sesuatu muatan ke orbit sasaran, namun, roket peringkat kedua (second stage) dari Falcon Heavy tersebut telah diatur untuk melakukan pembakaran terakhir sehingga kehabisan bahan bakar, menyebabkan kereta Tesla Roadster itu bergerak ke orbit yang lebih jauh [5].

Kereta Tesla Roadster milik Elon Musk itu akan mengorbit matahari dengan titik orbit terendah pada kedudukan orbit bumi, dan titik tertinggi orbit hampir dengan lingkaran asteroid.

 


Rakaman penuh pelancaran roket Falcon Heavy dalam penerbangan ujian pada 7 Februari 2018
Kredit: SpaceX [0]

 

Kredit gambar: SpaceX [7]

 

Rujukan:

[0] Falcon Heavy Test Flight: https://www.youtube.com/watch?v=wbSwFU6tY1c

[1] Falcon Heavy: http://www.spacex.com/falcon-heavy

[2] https://twitter.com/planet4589/status/961016772391563265

[3] Live Views of Starman: https://www.youtube.com/watch?v=aBr2kKAHN6M

[4] https://twitter.com/elonmusk/status/961083704230674438

[5] Elon Musk celebrates successful Falcon Heavy rocket launch: https://www.youtube.com/watch?v=ROnomVVQ2cU

[6] Falcon Heavy Demonstration Mission: http://www.spacex.com/sites/spacex/files/falconheavypresskit_v1.pdf

[7] Falcon Heavy Demo Mission: https://www.flickr.com/photos/spacex/40126461411/in/dateposted/

[8] On the rocket LZ: https://www.instagram.com/p/Be36GWVAcR5/

 

Anda mungkin juga berminat mengenai..