Roket Soyuz 2.1a Melancarkan Kapal Angkasa Kargo Progress MS-08 ke Stesen Angkasa Antarabangsa

Kemaskini terakhir: 23:20 14 Februari 2018

 

Roket Soyuz 2.1a di pad pelancaran
Roket Soyuz 2.1a di pad pelancaran
Kredit: Roscosmos [0]

 

Pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia (2:13PM waktu tempatan), roket Soyuz 2.1a telah berjaya melancarkan kapal angkasa kargo Progress MS-08 ke orbit. Roket Soyuz 2.1a tersebut terdiri dari 3 peringkat yang kesemuanya menggunakan kerosin gred roket (RG-1) yang disejukkan sebagai bahan bakar, dan oksigen cecair sebagai bahan pengoksida.

IKLAN

Kapal angkasa Progress MS-08 tersebut telah membawa muatan kargo sebanyak kira-kira 2,700 kg. Kargo ini terdiri dari 1,390 kg kargo kering, 890 kg propelan untuk pengisian semula propelan stesen angkasa, 420 kg air, dan 46 kg botol oksigen mampat.

Kapal angkasa Progress MS-08 telah cuba dilancarkan pada 4:58 PM 11 Februari 2018 waktu Malaysia, namun, masalah teknikal telah menyebabkan pelancaran pada hari itu dibatalkan. Ini menyebabkan kapal angkasa tersebut terlepas peluang untuk melakukan perjalanan pendek 3 setengah jam ke Stesen Angkasa Antarabangsa. Perjalanan Progress MS-08 kali ini menggunakan perjalanan biasa 34 orbit selama 2 hari berbanding 2 orbit selama 3 setengah jam seperti yang dirancang untuk pelancaran asal [1].

Ketika pelancaran pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia, kedudukan Stesen Angkasa Antarabangsa di orbit berada di selatan lautan Atlantik ke arah utara Kepulauan Falkland. Jika dilancarkan pada 4:58 PM 11 Februari 2018 waktu Malaysia, kedudukan Stesen Angkasa Antarabangsa di orbit berada di atas tapak pelancaran 30 saat selepas pelancaran, sebagaimana yang dilaporkan oleh NASA TV.

Roket Soyuz 2.1a meninggalkan pad pelancaran seterusnya membawa kapal angkasa Progress MS-08 ke orbit
Roket Soyuz 2.1a meninggalkan pad pelancaran seterusnya membawa kapal angkasa Progress MS-08 ke orbit
Kredit: Roscosmos [5]

[https://blog.mybit.my/?p=1424]

Roket Soyuz 2.1a setinggi kira-kira 46.3 m dan seberat kira-kira 312,000 kg itu dilancarkan tepat pada 4:13:13PM waktu Malaysia dari pad pelancaran 31 di Baikonur Cosmodrome. 1 minit 58 saat selepas meninggalkan pad pelancaran, bahagian pertama roket yang terdiri dari 4 roket kecil (booster) dimatikan dan dipisahkan dari roket utama.

Pada 3 minit 3 saat selepas pelancaran, reraut muatan (payload fairing) dibuka dan dibuang kerana muatan sudah keluar dari lapisan atmosfera padat dan untuk membuang berat yang tidak perlu.

Roket peringkat kedua meneruskan pembakaran enjin sehingga hampir minit ke 5 pelancaran sebelum dipisahkan dari roket peringkat ketiga.

Selepas itu, roket peringkat ketiga membawa kapal angkasa Progress MS-08 ke orbit sementara. Roket peringkat ketiga dimatikan pada 8 minit 45 saat selepas pelancaran dan dipisahkan dari kapal angkasa Progress MS-08.

Roket Soyuz 2.1a berjaya meletakkan kapal angkasa Progress MS-08 di orbit sementara berketinggian 193.1 km x 241.2 km, berkecondongan 51.67°, dan mempunyai tempoh orbit selama 88.55 minit [3] [4]. Ketika artikel ini ditulis, Stesen Angkasa Antarabangsa mengorbit bumi dengan orbit berukuran 415 km x 410 km, berkecondongan 51.64°, dan mempunyai tempoh orbit 92.67 minit. Kapal angkasa Progress MS-08 akan “mengejar” stesen angkasa dan melakukan beberapa lagi pembakaran enjin untuk menyamakan orbit kapal angkasa dan stesen angkasa.

Video awal ketika kapal angkasa Progress MS-08 tiba di orbit sementara

Video awal ketika kapal angkasa Progress MS-08 tiba di orbit sementara
Gambar dari video awal ketika kapal angkasa Progress MS-08 tiba di orbit sementara
Kredit: NASA TV / Roscosmos

[https://blog.mybit.my/?p=1424]

Kapal angkasa Progress MS-08 dijangka bercantum (docking) secara automatik dengan modul Zvezda pada Stesen Angkasa Antarabangsa pada 6:43PM 15 Februari 2018 waktu Malaysia. NASA TV [6] akan memulakan liputan secara langsung percantuman pada 6:00PM 15 Februari 2018 waktu Malaysia.

Apa yang menarik, pada 8:10PM waktu Malaysia pada hari yang sama, Kira-kira pada 8.10PM 16 Februari 2018 waktu Malaysia, angkasawan Mark Vande Hei dari Amerika Syarikat, dan Norishige Kanai dari Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun (Japan Aerospace Exploration Agency, JAXA) akan melakukan aktiviti luar kenderaan (extravehicular activity, EVA) di luar stesen angkasa. , kira-kira 1 setengah jam selepas percantuman kapal angkasa Progress MS-08 dengan stesen angkasa.

Antara tujuan aktiviti luar kenderaan yang akan dilakukan itu adalah untuk membawa Latching End Effector (LEE), atau lebih dikenali sebagai tangan untuk lengan robotik Canadarm2 dari pendakap muatan (payload attachment) pada rel Mobile Base Station di luar stesen angkasa, ke dalam sendat udara (airlock) Quest. Latching End Effector (LEE) tersebut akan dihantar pulang ke bumi untuk diperbaharui dan akan dihantar semula ke stesen angkasa sebagai alat ganti.

Siaran langsung liputan aktiviti tersebut boleh turut ditonton dalam NASA TV [7].

 


Klip video pelancaran roket Soyuz 2.1a membawa kapal angkasa Progress MS-08 ke orbit
Kredit: Roscosmos [5]

[https://blog.mybit.my/?p=1424]

Sejarah kemaskini

23:20 14 Februari 2018 – perubahan aktiviti luar kenderaan (extravehicular activity, EVA) dari 15 Februari 2018 ke 16 Februari 2018

 

Kredit gambar: Roscosmos [0]

 

Rujukan:

[0] https://www.roscosmos.ru/24688/

[1] Progress MS-08 cargo ship launches on two-day trek to ISS: http://www.spaceflightinsider.com/missions/iss/progress-ms-08-cargo-ship-launches-two-day-trek-iss/

[2] Soyuz rocket launches cargo freighter to International Space Station: https://spaceflightnow.com/2018/02/13/progress-ms-08-launch/

[3] http://www.mcc.rsa.ru/extra1.htm

[4] https://forum.nasaspaceflight.com/index.php?topic=44436.msg1788040#msg1788040

[5] https://www.youtube.com/watch?v=0OIXvesUMfE

[6] https://www.youtube.com/watch?v=wwMDvPCGeE0

[7] https://www.nasa.gov/multimedia/nasatv/schedule.html

Anda Mungkin Juga Berminat

Soyuz 2.1a Bersama Progress MS-08 Akan Cuba Dilancarkan Semula Pada 4:13PM 13 Februari 2018 Roket Soyuz 2.1a akan cuba melancarkan kembali kapal angkasa Progress MS-08 pada 4:13PM 13 Februari 2018 waktu Malaysia . Oleh kerana peluang untuk membuat perjalanan pantas 3 setengah jam telah ter...
3 Angkasawan Kembali ke Bumi Dari Stesen Angkasa Antarabangsa Kemas kini terakhir: 1:15 PM, 28 Februari 2018 3 orang angkasawan dari Ekspedisi 54 Stesen Angkasa Antarabangsa telah selamat mendarat di Kazakhstan pada 10:31 AM 28 Februari 2018 waktu Malaysia (8:3...